Rabu, 24 September 2014

Debaran PU Musim ke 2

Bismillah

Alhamdulillah, masih lagi dalam nikmat Islam, Iman dan Hidup. Ndak terbayang bah kalau nikmat-nikmat ndak dapat. Sia-sia hidup terus.

Dijangka hujung minggu ni keputusan Finalis PU musim ke 2 akan diketahui. Jadi sudah tentulah debaran tu semakin terasa. Macam UA cakap sebelum ni, UA serahkan sepenuhnya urusan ni kepada Allah SWT. Bagi-Nya segala apa yang ada di langit dan bumi, Dia punya bah semua ni, harta semua ni pun Allah punya. Mana milik kita ? Astro tu pun Dia punya juga bah.


Dapat ucap Alhamdulillah, ndak dapat pun ucap Alhamdulillah. Hubungan dengan Allah tatap diutamakan, Cinta Rasulullah tatap didahulukan, berbakti kepada wali keramat dan keluarga tetap yang utama. Insha Allah, apa juga keputusan selepas ini UA akur dan bersedia. Debaran pengalaman PU musim pertama akan jadi bekalan, ketika itu UA menanti juga yang akhirnya keputusannya UA tidak terpilih sebagai finalis ketika itu. Itulah kehidupan, setitik derita melanda berjuta-juta kurniaan-Nya. sungguh selepas peristiwa itu terlalu banyak hikmah yang Allah berikan kepada UA. Antara yang paling besar ialah, Zaujah tersayang mengandung, mengandung anak pertama kami yang kini telah berusia 3 bulan lebih, dialah puteri kesayangan kami Uswah Hasanah binti Azihal. Kini, adakah kali ini UA akan terpilih ? Wallahua'lam.


Hakikatnya telah tercatat di Luh Mahfuz, hidup mati jodoh dan rezeki kita. Dalam hal ini, UA juga menyakini takdir Ilahi. Ya Allah, ampuni dosa-dosaku. Terima taubatku ya Allah.

-Hidup adalah Perjuangan-

Rabu, 17 September 2014

16 September 2014

Alhamdulillah


Semalam adalah hari ulangtahun perkahwinan UA yang ke 2 bersama isteri tercinta Hamisah binti Mohamad Chabar. 16 September 2012 - 16 September 2014. Syukur ya Allah, kali ni kami menyambutnya bersama anak yang tersayang Uswah Hasanah binti Azihal. Sungguh begitu banyak nikmat dan anugerah Allah yang telah kami sekeluarga nikmati 

Ya Allah jadikan kami hamba-hamba-Mu yang sentiasa bersyukur bukan yang kufur. 'Baitiy Jannatiy' ini terbina atas dasar Cinta selepas nikah. UA sangat bersyukur kepada Allah, dikurniakan seorang isteri yang sangat memahami jiwa dan aspirasi UA. menjadi tulang belakang ketika UA berdakwah di jalan Allah, kerap menemani kembara Dakwah UA ke pentas bersama masyarakat tanpa mengira siang dan malam, lapar dan dahaga, susah dan senang, pahit dan manis. Penasihat utama buat UA, komentar sangat berhikmah. Sudah 2 tahun Puan menjadi teman UA dalam dunia dakwah, kalau tahun 2012 UA berkeseorangan, tahun 2013 UA berdua dengannya dan sangat manis bila tahun ini kami bertiga bersama si Comel Solehah Uswah Hasanah dalam musafir dan kembara Dakwah. Sungguh, UA sangat bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih kepada Puan kerana telah menjadi isteri solehah buat UA dan Ibu mithali buat anak UA.



Antara kenangan terindah ialah apabila pada 30 Ogos lepas, beliau sudi menemani UA ke kuantan untuk Uji Bakat Pencetus Ummah musim yang ke 2. Usai kuliah maghrib, kami sekeluarga bertolak dari Bangi, Selangor tepat pukul 10.00 malam. Sepanjang perjalanan beliau setia menemani UA, teman berbicara sambil dipangkuannya si anak comel solehah Uswah Hasanah. Alhamdulillah, pukul 2.30 subuh kami terus daftar di Hotel Sri Malaysia Kuantan, Pahang untuk rehat dan kumpul tenaga secukupnya untuk sesi uji bakat PU selepas itu. Beliau akur dengan kehendak UA untuk tunggu di hotel sementara UA pagi 31 Ogos 2014, hari Sabtu ke UIA Kuantan untuk uji bakat.

Antara peserta pertama yang tiba di lokasi uji bakat, nombor 001 telah menjadi nombor UA. Alhamdulillah, dengan izin Allah. UA melepasi keempat-empat stage uji bakat, dan menerima kertas hijau yang bertulis 'TAHNIAH'. Ternyata pada hari tersebut ada 6 orang peserta PU yang terpilih untuk Zon Timur, salah seorang ialah UA. Kini, sesi uji bakat PU telah berakhir lokasi terakhir ialah di bumi UA belajar dan bekerja KUIS pada 13 dan 14 September yang lepas. Debaran semakin terasa, adakah UA termasuk dalam senarai Finalis PU musim ke 2 atau sebaliknya. Wallahua'lam. 2 hari dua malam, diakhiri kembara musafir dengan makan makanan terkenal pantai Timur antaranya Satar :-). "Ya Rabb, ku serahkan urusan hidupku seluruhnya hanya kepada-Mu".




Demikian sedikit cetusan rasa UA di ruangan ini. mudah-mudahan ia mampu membakar semangat UA untuk terus maju ke hadapan demi merai Redha Ilahi dan menggapai Syafaat RasulNya SAW. Sayang, Selamat Ulangtahun Pernikahan kita yang ke 2 Sayangku, Engkaulah Permaisuri Hatiku. Only U in My Heart, Puan Hamisah binti Mohamad Chabar. Jazakallahu khoiran kathira melahir, mentarbiyah dan membesarkan anak kita Uswah Hasanah dengan Islam dan Iman.

Selasa, 9 September 2014

Aku Anak Kampung



Bukan Populariti yang Didamba

Bukan Harta dan Material yang Dipinta

Bukan Pujian dan Sanjungan Manusia yang Dikejar

Demi ISLAM kerana ALLAH, Ku Gagahi untuk Mencubanya

Ya Allah, berikanku Redha-Mu dan naungi hidupku dengan Syafaat Rasul-Mu

- Hidup adalah Perjuangan -

Ahad, 21 Julai 2013

Nasi dah Jadi Bubur Lambuk

        Alhamdulillah, lama sudah UA ndak menulis dalam Blog ni, tiba-tiba hari ni tergerak mau berkongsi rasa di sini. Hidup adalah Perjuangan, inilah antara pegangan hidup UA, perjuangan untuk keluar daripada kejahilan kepada kebenaran, daripada kebiasaan kepada Luar Biasa. Usia semakin bertambah, hidup pun kadang-kadang banyak perkara terlupa, kulit semakin berkedut rambut pun dah mula beruban. Isyarat kematian sudah mula bertamu pada diri ini.

        Masa berlalu begitu pantas, kini 12 Ramadhan 1434 H. Apakah sudah cukup amalan kita bertemu Allah ? Menghadapi kematian ? Berada di alam Barzakh ? Berkumpul di Padang masyar untuk mengetahui samada nama kita tersenarai dalam list Syurga atau neraka ? Allah, Jom kita bermuhasabah bersama adakah selama ini kita beramal benar-benar kerana Allah atau kerana niat lain. Adakah selama ini kita kita benar-benar menyerah diri dan tunduk patuh di hadapan Allah atau sebaliknya.

        Setiap kali Ramadhan kita semua akan memburu Taqwa, hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Bagaimana dengan setiap hari Ramadhan kita tahun ini, adakah semakin baik dan graf kecemerlangan semakin meningkat atau sebaliknya ? Allah, malang buat kita apabila lisan kita masih berat untuk berzikir, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Malang juga buat kita andaikata kita masih berkira-kira untuk beribadat di hadapan Allah "Cukuplah solat Fardhu, solat sunat tu sunat ja, ndak apa kalau ndak buat", sedih bila ada rasa ini dalam hati kita. Terlalu banyak nikmat Allah yang telah kita guna, nikmati, makan dan minum, tetapi apabila kita beribadat sebagai tanda syukur dan tanggungjawab kita sebagai HAMBA kita jadi berkira.

      Janganlah kita jadi macam tu sahabat-sahabat, kita tengok Nabi junjungan kita Muhammad SAW. Baginda maksum, dijanjikan syurga, diampunkan segala dosa-dosa Baginda terdahulu dan yang akan datang. Baginda beribadat macam mana ? Kaki Baginda bengkak sebab terlalu banyak beribadat kepada Allah, Baginda ikat perut dengan 2 biji batu sebab kesederhanaan hidup yang ada, Baginda seorang yang sangat lemah lembut ketika berinteraksi sesama insan tidak mengira bangsa dan agama. Baginda istiqomah dalam beristighfar memohon keampunan Allah, sehari 100 x Istighfar memohon keampunan Allah. Kita bagaimana ? Bukti kecintaan kita kepada Baginda bagaimana ? Bukti cinta kita kepadanya dengan selawat, berapa kali kita berselawat kepada Baginda SAW dalam sehari. Allah, kita bilang kita cinta dan sayang Nabi SAW tapi mahu berselawat pun kita sudah berkira, itu belum lagi pengkajian kita tentang sejarah hidup dan perjuangan Dakwah, Tarbiyah dan Siasah Baginda. Hina, lemah dan Hipokritnya kita kan... Ampunkan kami ya Allah.

        Syukur ya Allah, kita masih lagi bernafas tatkala saat ini dan sebelum ini ada saudara-saudara kita yang telah berada di alam Barzakh. Syukur Alhamdulillah, kita masih lagi sihat tatkala ada insan yang sakit, kritikal di hospital atau pusat rawatan sehingga nak makan makanan sedap-sedap seperti kita dah tak boleh. Syukur kita masih lagi diberikan kelapangan berbanding ada diantara kita yang hidupnya terlalu sibuk mengejar kesenangan dan kekayaan dunia. Syukur Alhamdulillah kita masih lagi dikurniakan kesenangan hidup berbanding ada saudara-saudara kita hidup dhoif dan miskin, makan minum mereka tiduk menentu. Lapar menjadi rutin harian mereka. Syukur kita masih lagi diberikan nikmat muda bertenaga berbanding saudara kita yang lain yang kini dah semakin berusia menuju alam tua, pendengaran semakin kurang, sakit badan sana sini, dan bangun dan bergerak pun terpaksa guna tongkat dan seumpamanya. Ingat 5 sebelum 5.

      Allah, inilah hidup. Dunia ini ladang kita bercucuk tanam untuk kehidupan yang abadi iaitu kehidupan Akhirat. Allah tegaskan dalam al-Quran yang mulia, Akhirat itu lebih baik dan kekal berbanding kehidupan dunia yang sementara ini. Sahabat, adakah kita ini cinta Dunia @ cinta Akhirat ? Rindu Syurga @ Neraka ?
Sudah kita bersedia bertemu Sakaratul Maut......? Kita akan dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan di tanah kubur. Masa tu, "Nasi dah jadi Bubur Lambuk", Allah....Allah....Allah...

Hidup adalah Perjuangan

Jumaat, 26 Ogos 2011

Ina' ya Kinalasahan Tongan (Ibu yang sangat disayangi)

Alhamdulillah, bersyukur kepada ALLAH SWT atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira, dengan izin-Nya UA masih bernafas dan bernyawa, syukur kepada-Mu ya Allah. Selawat serta Salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW, insan yang paling mulia dan agung. Penghulu segala Nabi dan Rasul. Kesejahteraan kepada Keluarga dan para sahabat Baginda yang mulia.

Semalam, sempat berbicara selama setengah jam dengan Ibu melalui telefon, melepaskan rindu kepadanya dan menjalankan amanah sebagai seorang anak dengan bertanya khabar dan mengetahui perkembangan Ibu. Sebelum ini, UA selalu menghubungi Ibu, cuma hari ini UA terpanggil untuk membuat satu catatan khas yang berkaitan Ibu ke dalam Blog ini. Mengambil berkat bulan Ramadhan yang mulia. UA memanggil Ibu dengan gelaran Ina', Ina' adalah perkatan bahasa Bajau Ubian yang bermaksud Ibu.

UA bersyukur kepada-Nya kerana telah dikurniakan seorang Ina’ yang sangat Mithali dan Solehah iaitu Sitti Harijah binti Haji Jimlan, dan juga dikurniakan seorang Ayah yang sangat tenang dan penyabar Bangsawan bin Haji Abu Bakar. Ina' seorang yang amat tegas dan garang dalam mendidik kami 8 orang adik beradik, berbeza dengan arwah Ayah seorang yang lemah lembut, penyabar dan tidak pernah memukul kami anaknya dengan tangan jauh sekali rotan atau batang Penyapu. Berbeza dengan metode didikan Ina', semasa kecil, Rotan, Penyapu lidi, wayar, senduk, kayu, tali pinggang dan seumpama dengannya semua itu menjadi alat mendidik oleh Ina' (untuk memukul) ketika kami melakukan kesilapan, daripada 8 orang adik beradik UA adalah anak yang sering kali menerima 'Coklat @ Gula-gula' tersebut. Oleh kerana kenakalan UA lah semua itu UA terima. Sejujurnya, sejak kecil sehingga dewasa Ina' suka berleter tatkala kami anak-anaknya tidak berdisiplin, tidak mengira waktu pagi, petang atau malam, walau di mana berada. Ina’ akan berhenti berleter apabila kami 8 orang adik beradik dapat melakukan apa yang Ina' suruh, seperti solat, dapat menyiapkan kerja sekolah, menyiapkan kerja rumah, tidak berkawan dengan budak-budak nakal, bagi anak lelaki dikehendaki solat di Masjid kampung dan banyak lagi. Seperti biasa, sebagai anak yang 'Istimewa' UA bukan sahaja seringkali menerima hadiah yang disebut tadi bahkan anak yang sering menerima leteran, juga atas kenakalan dan tidak mendengar cakap.

Apabila meningkat remaja, UA mula melawan dan memberikan tindakbalas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang kepada Ibunya, seperti melawan kata dan menengking Ina’. Setelah usia bertambah dan mula memasuki 21 tahun, apabila UA mula tersedar satu perkara besar iaitu Ketegasan dan leteran Ina' itulah yang menjadikan kami semua adik beradik berjaya dalam hidup. UA boleh menjadi Manusia seperti yang ada sekarang, daripada 8 orang adik beradik UA yang ditakdirkan-Nya sampai ke menara Gading. UA diizinkan-Nya merantau pelbagai tempat dan berani serta sedikit cekal tatkala mendepani apapun mehnah tribulasi dalam kehidupan ini. Selain itu, hasil didikan Ina’ UA mampu bersifat Degil dalam mencapai setiap impian dan cita yang ingin dicapai.

Menitis air mata apabila mengenang kebiadaban dan kesilapaan-kesilapan yang telah UA lakukan terhadap kedua orang Wali keramat dalam keluarga ini, iaitu Ina' (Ibu) dan arwah Ayah. UA bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberikan hidayah dan kesempatan untuk berbakti kepada keduanya. Walaupun arwah Ayah sudah tiada, kiriman Doa, Bacaan Al-Quran dan Tahlil setiap hari UA kirimkan sebagai penebus kepada kesilapan yang lalu dan sememangnya ituloah tanggungjawab sebagai seorang anak. Selepas arwah Ayah meninggal dunia pada 17/02/2001, maka bermulalah kehidupan Ina' sebagai seorang Ibu Tunggal yang perlu mendidik dan membesarkan kami 8 orang adik beradik sebagai anaknya. Kini, pemergian ayah telah memasuki tahun ke-10, Ina’ masih setia dengan Cinta arwah Ayah, walaupun ada beberapa kali beberapa orang Pakcik ingin melamar Ina’ sebagai isteri mereka. Ina’ ada berkata : “ Aku mahu menjadi teman sejati dan ketua bidadari kepada Ayahmu di Akhirat kelak ”. Teringat ceramah seorang Ustaz, ada menyatakan bahawa seorang perempuan yang kematian suami lalu dia bernikah dengan seorang lelaki selepas tamat tempoh Idah, lalu dia mati, maka di akhirat nanti dia akan bersama dengan semua barunya bukan suami yang awal. UA yakin ini ada kaitan dengan pendirian tegas Ina’ yang tidak mahu lagi berkahwin. Kelebihan Ina’ yang sangat UA kagumi ialah, ketegesan beliau dalam hal Solat dan Ilmu kepada kami anak-anaknya.

Tarikh 02/02/2002, bermula perantauan dan pegembaraan UA dalam bidang Agama, berbanding sebelum itu tahun 1990 -1995 Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Lahad Datu 3, dan 1996 - 2000 Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya Lahad Datu. Pengembaraan menuntut ilmu menuju Madrasah Al Irsyadiah Marakau Ranau, yang juga dikenali sebagai Pondok Pengajian Islam Marakau 2002 - 2004. Seterusnya Markaz At Ta'lim Wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik Kedah Darul Aman 2005. Kemudian Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) 2006 - 2011. Masih segar dalam ingatan UA, di subuh 02/02/2002 UA bersiap awal dan berbekalkan pelita di rumah, UA menyiapkan dan memastikan semua keperluan dan Beg pakaian cukup. Keadaan ketika itu sangat dingin memandangkan belum masuk waktu Subuh. Ketika azan Subuh berkemundang, UA memohon maaf, memeluk erat Ina' dan mengucup wajah Ina' buat kali pertama seingatnya setelah bergelar seorang anak Remaja. UA melihat Ina’ menitiskan air matanya, Ina’ menggerakan adik-adik yang lain suapaya bersalaman dengan UA. Keluar daripada pintu rumah dengan kaki kanan sambil memasak dan menanam sedalam-dalamnya di dalam hati, bahawa pegembaraan ini adalah bertujuan mengeluarkan diri daripada kejahilan dan demi Redha ALLAH SWT. Tanpa menoleh ke belakang, terus berjalan menuju Masjid untuk bersolat Subuh. Usai solat subuh, UA sempat bersalaman dengan semua jemaah yang ada ketika itu, dan memohon doa mereka semua supaya pegembaraan menuntut Ilmu ini akan berterusan dan mendapat Pimpinan ALLAH SWT.

Tahun 2002 telah berlalu, hari ini 26 Ogos 2011 bersamaan 26 Ramadhan 1432 H. Hampir 10 tahun sudah pengembaraan menuntut Ilmu Agama. Sudah tentu pelbagai pahit manis, lapar dahaga. susah senang, tawa tangis dan jatuh bangun diri UA telah berlaku. Hasil didikan dan leteran Ina' lah UA mampu mendepani semua itu dengan tenang, cekal, sabar dan kritis. Bi Iznillah.

Ina’, terima kasih kerana telah melahir, membesar, mendidik dan mentarbiyah serta menjaga UA sejak di dalam kandungan lagi sehinggalah ke hari ini. Besar sungguh pengorbanan Ina dan arwah Ayah, hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalasnya, dan mudah-mudahan kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang Berjaya di akhirat, bukan sahaj memasuki Syurga Allah SWT malahan akan dapat bertemu dengan Zat-Nya. Aamin ya Allah.

Pengembaraan ini masih jauh, masih banyak kejayaan yang perlu ditawan. UA yakin, bukan segunung emas yang Ina’ pinta. Kejayaan hidup UA dan adik beradik yang lain yang Ina’ ingin lihat. Ina’, percayalah bahawa janji kami anak-anakmu akan sentiasa membahagiakanmu termasuklah menunaikan impian Ina’ untuk menunaikan Ibadah Haji. Barakallahu Fina ………

Bacalah Doa ini untuk Saudara kita di Palestin & Dunia

Pengalaman Kepimpinan



2002-2005

Madrasah Al-Irsyadiah, Pondok Marakau Ranau Sabah (MAIM)

Ketua Pelajar
Ketua Asrama
Ketua Ibadah

2005
Markaz At-Ta'lim wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik, Kedah

Lajnah Mutholaah

2006-2011
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Pengerusi Lajnah Dakwah Jabatan Dakwah
Pengerusi Persatuan Mahasiswa Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Arab
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Borneo (PERMIB)
Presiden Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar (ALAM)
Setiausaha Agung Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar
Ketua Biro Pembangunan Insah Taa'ruf
Ketua Biro Disiplin Taa'ruf
Naqib Usrah Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Exco Akademik PERMIB
Exco Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian peradaban Islam (PMFPPI)



Sahabat Blog