Jumaat, 26 Ogos 2011

Ina' ya Kinalasahan Tongan (Ibu yang sangat disayangi)

Alhamdulillah, bersyukur kepada ALLAH SWT atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira, dengan izin-Nya UA masih bernafas dan bernyawa, syukur kepada-Mu ya Allah. Selawat serta Salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW, insan yang paling mulia dan agung. Penghulu segala Nabi dan Rasul. Kesejahteraan kepada Keluarga dan para sahabat Baginda yang mulia.

Semalam, sempat berbicara selama setengah jam dengan Ibu melalui telefon, melepaskan rindu kepadanya dan menjalankan amanah sebagai seorang anak dengan bertanya khabar dan mengetahui perkembangan Ibu. Sebelum ini, UA selalu menghubungi Ibu, cuma hari ini UA terpanggil untuk membuat satu catatan khas yang berkaitan Ibu ke dalam Blog ini. Mengambil berkat bulan Ramadhan yang mulia. UA memanggil Ibu dengan gelaran Ina', Ina' adalah perkatan bahasa Bajau Ubian yang bermaksud Ibu.

UA bersyukur kepada-Nya kerana telah dikurniakan seorang Ina’ yang sangat Mithali dan Solehah iaitu Sitti Harijah binti Haji Jimlan, dan juga dikurniakan seorang Ayah yang sangat tenang dan penyabar Bangsawan bin Haji Abu Bakar. Ina' seorang yang amat tegas dan garang dalam mendidik kami 8 orang adik beradik, berbeza dengan arwah Ayah seorang yang lemah lembut, penyabar dan tidak pernah memukul kami anaknya dengan tangan jauh sekali rotan atau batang Penyapu. Berbeza dengan metode didikan Ina', semasa kecil, Rotan, Penyapu lidi, wayar, senduk, kayu, tali pinggang dan seumpama dengannya semua itu menjadi alat mendidik oleh Ina' (untuk memukul) ketika kami melakukan kesilapan, daripada 8 orang adik beradik UA adalah anak yang sering kali menerima 'Coklat @ Gula-gula' tersebut. Oleh kerana kenakalan UA lah semua itu UA terima. Sejujurnya, sejak kecil sehingga dewasa Ina' suka berleter tatkala kami anak-anaknya tidak berdisiplin, tidak mengira waktu pagi, petang atau malam, walau di mana berada. Ina’ akan berhenti berleter apabila kami 8 orang adik beradik dapat melakukan apa yang Ina' suruh, seperti solat, dapat menyiapkan kerja sekolah, menyiapkan kerja rumah, tidak berkawan dengan budak-budak nakal, bagi anak lelaki dikehendaki solat di Masjid kampung dan banyak lagi. Seperti biasa, sebagai anak yang 'Istimewa' UA bukan sahaja seringkali menerima hadiah yang disebut tadi bahkan anak yang sering menerima leteran, juga atas kenakalan dan tidak mendengar cakap.

Apabila meningkat remaja, UA mula melawan dan memberikan tindakbalas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang kepada Ibunya, seperti melawan kata dan menengking Ina’. Setelah usia bertambah dan mula memasuki 21 tahun, apabila UA mula tersedar satu perkara besar iaitu Ketegasan dan leteran Ina' itulah yang menjadikan kami semua adik beradik berjaya dalam hidup. UA boleh menjadi Manusia seperti yang ada sekarang, daripada 8 orang adik beradik UA yang ditakdirkan-Nya sampai ke menara Gading. UA diizinkan-Nya merantau pelbagai tempat dan berani serta sedikit cekal tatkala mendepani apapun mehnah tribulasi dalam kehidupan ini. Selain itu, hasil didikan Ina’ UA mampu bersifat Degil dalam mencapai setiap impian dan cita yang ingin dicapai.

Menitis air mata apabila mengenang kebiadaban dan kesilapaan-kesilapan yang telah UA lakukan terhadap kedua orang Wali keramat dalam keluarga ini, iaitu Ina' (Ibu) dan arwah Ayah. UA bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberikan hidayah dan kesempatan untuk berbakti kepada keduanya. Walaupun arwah Ayah sudah tiada, kiriman Doa, Bacaan Al-Quran dan Tahlil setiap hari UA kirimkan sebagai penebus kepada kesilapan yang lalu dan sememangnya ituloah tanggungjawab sebagai seorang anak. Selepas arwah Ayah meninggal dunia pada 17/02/2001, maka bermulalah kehidupan Ina' sebagai seorang Ibu Tunggal yang perlu mendidik dan membesarkan kami 8 orang adik beradik sebagai anaknya. Kini, pemergian ayah telah memasuki tahun ke-10, Ina’ masih setia dengan Cinta arwah Ayah, walaupun ada beberapa kali beberapa orang Pakcik ingin melamar Ina’ sebagai isteri mereka. Ina’ ada berkata : “ Aku mahu menjadi teman sejati dan ketua bidadari kepada Ayahmu di Akhirat kelak ”. Teringat ceramah seorang Ustaz, ada menyatakan bahawa seorang perempuan yang kematian suami lalu dia bernikah dengan seorang lelaki selepas tamat tempoh Idah, lalu dia mati, maka di akhirat nanti dia akan bersama dengan semua barunya bukan suami yang awal. UA yakin ini ada kaitan dengan pendirian tegas Ina’ yang tidak mahu lagi berkahwin. Kelebihan Ina’ yang sangat UA kagumi ialah, ketegesan beliau dalam hal Solat dan Ilmu kepada kami anak-anaknya.

Tarikh 02/02/2002, bermula perantauan dan pegembaraan UA dalam bidang Agama, berbanding sebelum itu tahun 1990 -1995 Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Lahad Datu 3, dan 1996 - 2000 Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya Lahad Datu. Pengembaraan menuntut ilmu menuju Madrasah Al Irsyadiah Marakau Ranau, yang juga dikenali sebagai Pondok Pengajian Islam Marakau 2002 - 2004. Seterusnya Markaz At Ta'lim Wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik Kedah Darul Aman 2005. Kemudian Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) 2006 - 2011. Masih segar dalam ingatan UA, di subuh 02/02/2002 UA bersiap awal dan berbekalkan pelita di rumah, UA menyiapkan dan memastikan semua keperluan dan Beg pakaian cukup. Keadaan ketika itu sangat dingin memandangkan belum masuk waktu Subuh. Ketika azan Subuh berkemundang, UA memohon maaf, memeluk erat Ina' dan mengucup wajah Ina' buat kali pertama seingatnya setelah bergelar seorang anak Remaja. UA melihat Ina’ menitiskan air matanya, Ina’ menggerakan adik-adik yang lain suapaya bersalaman dengan UA. Keluar daripada pintu rumah dengan kaki kanan sambil memasak dan menanam sedalam-dalamnya di dalam hati, bahawa pegembaraan ini adalah bertujuan mengeluarkan diri daripada kejahilan dan demi Redha ALLAH SWT. Tanpa menoleh ke belakang, terus berjalan menuju Masjid untuk bersolat Subuh. Usai solat subuh, UA sempat bersalaman dengan semua jemaah yang ada ketika itu, dan memohon doa mereka semua supaya pegembaraan menuntut Ilmu ini akan berterusan dan mendapat Pimpinan ALLAH SWT.

Tahun 2002 telah berlalu, hari ini 26 Ogos 2011 bersamaan 26 Ramadhan 1432 H. Hampir 10 tahun sudah pengembaraan menuntut Ilmu Agama. Sudah tentu pelbagai pahit manis, lapar dahaga. susah senang, tawa tangis dan jatuh bangun diri UA telah berlaku. Hasil didikan dan leteran Ina' lah UA mampu mendepani semua itu dengan tenang, cekal, sabar dan kritis. Bi Iznillah.

Ina’, terima kasih kerana telah melahir, membesar, mendidik dan mentarbiyah serta menjaga UA sejak di dalam kandungan lagi sehinggalah ke hari ini. Besar sungguh pengorbanan Ina dan arwah Ayah, hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalasnya, dan mudah-mudahan kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang Berjaya di akhirat, bukan sahaj memasuki Syurga Allah SWT malahan akan dapat bertemu dengan Zat-Nya. Aamin ya Allah.

Pengembaraan ini masih jauh, masih banyak kejayaan yang perlu ditawan. UA yakin, bukan segunung emas yang Ina’ pinta. Kejayaan hidup UA dan adik beradik yang lain yang Ina’ ingin lihat. Ina’, percayalah bahawa janji kami anak-anakmu akan sentiasa membahagiakanmu termasuklah menunaikan impian Ina’ untuk menunaikan Ibadah Haji. Barakallahu Fina ………

Sabtu, 20 Ogos 2011

Sahabatku Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT atas segala kurniaan dan nikmat yang diberikan-Nya kepada UA sehingga saat ini. Selawat serta salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW, Keluarga dan para Sahabat yang Mulia.

Hari ini, UA buka Google dan klik Imej dan taip Umar Azihal Bangsawan, kemudian UA terjumpa satu gambar, gambar seorang Sahabat yang sangat UA rindui, sahabat seperjuangan semasa program Diploma Pengajian Islam Dakwah sebelum ini. UA klik web Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil. http://amirosafwan.blogspot.com/2010/03/bagaimanakah-hatiku.html . Komen UA terhadap tulisannya ketika itu 25 Mac 2010, 1.00 pm, Khamis ...

Assalamualaikum w.b.t.....

Sahabatku...

Terlebih dahulu ana memohon maaf kerana ketika anta memerlukan seorang sahabatana tiada disisimu. Namun ketahuilah dirimu tetap berada diingatanku sebagai seorang sahabat seperjuangan. Perkatan 'SAING' telah anta berikan pada ana, dan 'JO' pula ana berikan kepada anta. Enam semester kita lalui bersama di bumi KUIS. Walaupun jarak usia kita jauh berbeza, ana sentiasa menganggap anta sebagai seorang yang sebaya pada ana.

Sahabatku...

Teruskan perjuangan dakwahmu di bumi anbiya yang anta pijak ketika ini, begitu juga ana di tanah air ini. Bumi Allah sangat luas syeikh, setiap ruang bumi-Nya adalah medan dakwah, setiap saat adalah amanah dari-Nya kepada kita, dan setiap saat perlu ada 'DAKWAH'. 18 Julai 2009 kita bersama menerima segulung Diploma Pengajian Islam 'DAKWAH', masih ingat kan sahabatku ?

Banyak kenangan manis yang kita lalui bersama, susah senang, lapar dahaga, panas terik dan tawa tangis, gurau senda semua itu pernah kita lalui bersama. Sahabat, di mana pun kita berada, Intima' diri kita dalam gerak kerja DAKWAH perlu Istimrar. Doa ana semoga dirimu di sana sentiasa dipimpin oleh rahmat dan kasih sayng ALLAH SWT.

Maafkan diri ini Sahabatku, segala jasa baikmu dan pengorbananmu padaku amat ana hargai. Jazakumullahu Khoiran Kathira.

Sahabatmu... Umar Azihal Bangsawan


Jumaat, 19 Ogos 2011

Pesan Arwah Ayah


Alhamdulillah, syukur kepada-Mu ya Allah kerana masih mengizinkanku untuk terus hidup dan bernafas. Selawat serta salam ke atas Nabi junjungan Muhammad saw. Keluarga dan para Sahabat baginda yang UA muliakan.

Menghampiri hari ke-20 Ramadhan, hati terasa sayu. Tatkala minda menyelusuri runagan akal teringat akan satu pesanan Arwah ayah sehari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya " Umar, jadilah orang yang berguna kepada diri sendiri dan orang lain ". Ringkas pesanan Arwah tetapi mempunyai makna tersirat yang terlalu luas.

Keupayaan bergerak kerja atau beraktiviti seseorang perlu mengikuti kemampuan yang dia ada, hal ini merangkumi segenap aspek dan aktiviti harian kita sebagai manusia. Ukur baju di badan sendiri, pepatah Melayu menyebutnya.

UA semester ini terasa ada sahaja yang tidak kena, sehingga sentiasa ingin mngelak daripada kekalutan dan kesibukan manusia di luar sana dan ingin sentiasa bersendirian. Setelah berfikir panjang, UA dapati Hati adalah merupakan faktor utamanya, iaitu hati yang mudah tersentuh sehingga suka bersendirian, hati yang jauh dari Allah SWT sehingga berasa susah hati, hati yang mungkin masih hitam dek kerna cerita-cerita silam.

Petang ini, Ramadhan akan memasuki harinya yang ke-20 untuk tahun ini. Belum terlewat lagi untuk UA mengatur strategi dan perancangan untuk memastikan Tetamu yang Mulia ini UA dapat Muliakan dengan erti kata sebenar. Ramadhan 1432 H, UA ingin melayanmu sebaik mungkin sebelum Engkau pergi ke pangkuan Tuhan yang menciptakanmu dan memlaporkan layananku kepadamu. Izinkanku untuk mendakap dan memelukmu seerat-eratnya wahai Ramadhan yang Mulia dan Suci.

Ya Allah, kuatkanlah hatiku, tingkatkanlah amal Solehku, ampuni dosa-dosaku ya Allah.

Jumaat, 5 Ogos 2011

Kehidupan



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT dan Selawat serta salam kepada Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat Baginda yang Mulia. UA yakin setiap manusia masing-masing mempunyai jalan cerita hidup yang tersendiri, dan kesemua itu terkadang menuntut untuk dimuahasabahkan. Dengan itu, setiap insan pasti memberikan ruang dan masa untuk dia bersendirian dan mengkoreksi segala apa yang telah berlaku dalam hidupnya.

Allah memberikan ujian kepada hamba-Nya sebab DIA sayangkan hamba-Nya, ingin hamba-Nya ingat akan DIA, kerana secara adatnya tatkala manusia dalam kesusahan dan kesedihan maka ketika itu Kecintaannya dan ingatannya kepada Pencipta iaitu ALLAH akan memuncak. Keikhlasan yang sebenar akan terpancar ketika ini. Oleh itu, kekuatan hati dan minda sangat diperlukan ketika mendepani cabaran hidup.

Masa berlalu begitu pantas, setiap saat adalah amanah Allah kepada kita. Sejauh mana kita mengingati Allah dalam kehidupan seharian kita. Sehari kita ada masa 24 Jam, seminggu ada 7 hari, sebulan ada 30 @ 31 hari. Setahun ada 12 bulan dan 365 hari. Pantas masa berlalu, sungguh pantas. kita selalu mendengar orang yang hebat ialah orang yang mampu mendominasi masa, bukan masa yang mendominasinya. UA bagaimana ?

Perhatikan sahaja, ketika ini kita telah pun berada di hari ke 5 Ramadhan. Bulan yang penuh rahmat dan keampunan kepada kita daripada-NYA sang Pencipta. Bulan yang setiap amalan soleh akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda. Bulan pengabdian kita sepenuhnya kepada Allah. Bulan untuk kita memperbanyakan menangis dihadapan-NYA atas segala dosa-dosa dan keterlanjuran kita selama ini. Ya Allah, berikanlah kekuatan hati, akal dan jasad kepada kami untuk kami Istiqamah 'Tunduk Hina' dihadapan-MU bukan sahaja di bulan ini bahkan sepanjang hidup kami di Dunia yang sementara ini ya Allah.

Wahai Tetamu yang UA Muliakan, terus pimpin tangan UA ya, demi Redha Ilahi.

Selasa, 2 Ogos 2011

Ramadhan yang penuh Keberkatan


Alhamdulillah, dengan izin Allah UA mampu hidup dn bernafas lagi. Masa berlalu begitu pantas, ketika ni dah masuk hari ke 2 bulan Ramadhan 1432 H. Ramadhan kali ini Insyaallah ramadhan yang sangat banyak memberi makna dalam hidup UA, kerana telah banyak peristiwa yang berlaku sebelum ini. Alhamdulillah, penghujung Sya'ban baru-baru ni menjadi petanda kepada penyelesaian kepada beberapa dugaan hidup UA.

Kehadiran Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim ke bumi Semenanjung bagi UA menjadi titik tolak yang besar dalam hal ini. Tiga kali pertemuan dengan Tuan Guru dan menerima peringatan (Tazkirah) telah banyak menenangkan hati dan mengubat penyakit hati UA. Inilah keberkatan Insan yang Taat kepada Allah, Insan yang mengenal Allah, . Mudah-mudahan didikan dan petunjuk jalan yang diberikan oleh Tuan Guru akan sentiasa UA guna pakai dalam mendepani kehidupan ini.

Setiap kali kehadiran Ramadhan setiap umat Islam masing-masing mempunyai Azam Ramadhan, UA juga tidak ketinggalan. Apapun azam yang kita ada dan tanam dalam hati. Ramadhan kali ini hendaklah Ramadhan yang paling terbaik diantara paling terbaik sepanjang kita hidup di dunia ini. Kita mengambil segala ruang dan peluang yang Allah berikan disepanjang bulan yang mulia ini. Insyaallah Bi Iznillah.

Selamat Maju Jaya UA ucapkan kepada diri agar menjadi Hamba-NYA yang berTAQWA.

Rabu, 11 Mei 2011

Pada Suatu Hari :-)

Alhamdulillah hidup lagi aku rupanya, bersyukur pada-MU ya Allah. Sebelum keluar rumah ni, tetiba terpanggil pula untuk meluah sesuatu perkara kat blog ni. Takde apapun cuma berkaitan sifat faham memahami antara satu sama lain ja. Ceritanya 07hb Mei baru-baru ni UA menerima jemputan ceramah di satu tempat untuk 12hb Mei, seperti biasa UA akan kosongkan jadual pada hari tersebut, dan pada 13hb -15hb Mei ni UA akan bertolak ke Sarawak dan Sabah atas urusan kerja GAMIS. Setelah mendapat tahu program GAMIS tersebut pasti, maka malam 08hb Mei UA beli tiket Kapal Terbang untuk program tersebut. Asalnya UA nak bertolak 12hb untuk melakukan persediaan yang rapi dan baik untuk program keesokan harinya. Namun, memikirkan program jemputan ceramah pada 12hb tadi maka UA beli tiket untuk penerbangan 13hb pagi yang hakikatnya UA dah lewat untuk program di Sarawak. Maklumlah walaupun Sarawak negeri jiran kepada Sabah, tapi UA Insyaallah buat pertama kalinya akan ke sana pada 12hb ni. Biiznillah Taa'la.

10hb Mei, menerima panggilan daripada pihak penganjur yang menyatakan jemputan dibatalkan atas sebab yang tidak Wadih dan yang paling menguji kesabarn UA wakil pihak penganjur yang menghubungi UA tu gelak masa UA bertanya sebab pembatalan, kenal gak. Antara ukhwah sebagai kawan dan Profesionalisme. Sejak awal lagi UA dah buat persediaan yang sewajarnya dan berazam melakukan yang terbaik, dan sebagai individu muslim memang selayaknya setiap apa yang kita lakukan kena yang paling terbaik. Takpe, UA seperti biasa menenangkan diri, sabar dan kritis. Pada UA tatkala kita berhadapan dengan sebarang dugaan hidup kita kena depani dengan Tenang, Sabar dan Kritis Insyaallah Allah akan bersama kita.

Mungkin akan ada orang berpandangan itu adalah taqdir yang telah ditentukan Allah, ya betul UA akur dan yakin dengan kenyataan tersebut. Cuma sebagai manusia biasa UA berpandangan kaedah pemakluman perlu lebih berhikmah dan profesional bukan dengan gelak tawa. Demi cita-cita murni UA untuk menjadi Pendakwah Profesional mungkin inilah antara mehnah tribulasi yang UA sering dan akan tempuhi sepanjang menjelajahi jalan cita-cita UA yang murni itu. UA yakin Penceramah-penceramah hebat yang ada diluar sana seperti Sifu al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Farid Ravi Abdullah sudah biasa dan hangus dengan kes-kes sebegini, yang kini mereka sudah lali dengannya. Semoga UA akan mendapat kekuatan seperti mereka nanti.

Dalam tulisan ini, tidak sekelumit atau setitik pun rasa kecil hati apatah lagi dendam atas apa yang telah berlaku, cumanya soal SIKAP, sikap pihak-pihak yang berkaitan yang pada UA tidak Profesional dalam pengurusan mereka. Mungkin mereka berfikiran mereka sibuk sehingga terlepas pandang banyak perkara, mereka juga perlu ingat UA sedang berusaha menjadi manusia sibuk dengan kerja-kerja ISLAM. Mereka ingin mendominasi masa, UA pun begitu juga.

Pesanan kepada pihak-pihak yang berkaitan, Jom kita belajar bersikap Empati kepada orang lain demi persaudaraan Islam yang Kekal dan Tebal. Sikap Profesional dalam gerak kerja akan melahirkan kemanisan sesuatu perjuangan, begitu jugalah sebaliknya.

"Senyumlah dari Hati duniamu berseri" :-)

Isnin, 9 Mei 2011

Tajdid KUIS Menuju Nusrah Ilahi




Pada hari ini berlakunya pendaftaran Mahasiswa/wi KUIS yang baru bagi sesi 1 2011/2012, maka sayuginya mereka semua akan secara rasmi menjadi warga KUIS yang baru, dan Insyaallah pada tahun ini juga berlangsungnya Konvokesyen KUIS yang ke-14 maka tamatlah pengajian beberapa orang Mahasiswa/wi KUIS yang pada UA hampir mencecah jumlahnya seribu lebih. Beginilah Daur atau lingkaran KUIS sebagai salah satu daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Dikesempatan ini, bukanlah bilangan yang ingin UA perkatakan, apa yang UA ingin nyatakan di sini ialah beberapa perkembangan baik yang telah berlaku di KUIS. Sebagai salah seorang Mahasiswa yang mungkin boleh dikatakan Senior, UA melihat perubahan semasa di KUIS sangat dan amat memberansangkan. Bukan sahaja dari segi Pembangunan Materialnya malahan juga dari segi pembangunan Insannya iaitu Rohani warganya.

Tahniah kepada Professor Dato' Dr Aziuddin Ahmad selaku Dato' Rektor KUIS bersama seluruh pasukannya dalam pentadbiran KUIS yang telah membuat banyak perubahan, setahun ini UA melihat Dato'Rektor telah mampu merealisasikan banyak perkara yang UA impikan berlaku di KUIS.

Berikut adalah perubahan-perubahan baik yang telah terealisasi :
  1. Menjadikan Masjid Al-Azhar sebagai pusat penTarbiyahan seluruh warga KUIS, dengan Dato' Rektor menjadi contoh teladan yang sangat baik. Alhamdulillah.
  2. Penekanan yang serius peraturan pemakaian staf dan para Mahasiswa/wi, termasuk board Zon Menutup Aurat.
  3. Mewajibkan semua Mahasiswa/wi menetap di dalam kampus (Hostel),
  4. Menyediakan laluan berbumbung antara hostel dan Masjid serta bilik kuliah.
  5. Mengurankan penggunaan kenderaan persendirian bagi Mahasiswa.
  6. Meningkatkan jiwa Qiadah (Kepimpinan) dalam diri seluruh staf dan pimpinan Mahasiswa.
  7. Gerakan Amar Makruf yang semakin tersusun dan relevan.
  8. Mesra Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), dengan lebih mudah ketika bekerjasama
  9. Menekankan soal kebersihan dan harga makanan di semua cafe.
  10. Mentranformasi pihak Keselamatan KUIS, seperti pelekat kenderaan, parking, bilangan pengawal keselamatan yang semakin bertambah dan lain-lain.
  11. Penjenamaan baru terhadap Urus Tadbir dan pengurusan KUIS demi keselesaan dan kemudahan seluruh warganya khasnya kepada Mahasiswa.
Setakat ini sahaja yang UA mampu nyatakan di sini, semua itu ialah pandangan peribadi UA dan sekali lagi UA menyokong ke semua perkara tersebut di atas terutamanya perkara pertama, ditambah lagi dengan Dato' Rektor memberikan contoh terbaik dalam hal tersebut, setahun berlalu wahai Ayahandaku Dato' Rektor, UA sebagai muridmu dan anakmu ini ingin menyatakan, memang benarlah Hatimu sangat dekat dengan Masjid Al-Azhar. Inilah yang sangat membanggakan UA. Orang no. 1 KUIS Istiqamah d Masjid Al-Azhar.

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang pada UA pihak pengurusan perlu bersiap sedia dengan erti kata sebenar agar perubahan-perubahan (tajdid) tersebut tidak bersifat memakan diri atau menyusahkan warga KUIS. Antaranya ;

  1. Jumlah Mahasiswa yang duduk dalam kampus semakin ramai, sudah tentu keamanan dan keselamatan perlu dilipat kali gandakan. Begitu juga soal Solat berjemaah di masjid khasnya bagi muslimin. Kalau sebelum ini wujud suasana sahut menyahut sambar menyambar teriakan mahasiswa, apatah lagi jumlahnya akan bertambah. Insyaallah sekiranya Pengetua kediaman yang baru dilantik menekankan para Mahasiswa yang mendiami hostel Cinta pada Masjid dan mengadakan banyak program keagamaan nescaya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kecurian, tidak solat, keluar lewat malam, couple dan sebagainya dapat diminimakan atau mungkin dihapuskn terus.
  2. Menekankan soal peraturan pemakaian kepada Mahasiswa, diharapkan agar perkara ini juga serius dilaksanakan di peringkat staf dan para pensyarah. Kita tidak mahu melihat atau mendengar cakap-cakap, 'Ketam mengajar anaknya berjalan lurus'.
  3. Semua Cafe yang ada di KUIS perlu pemantauan yang kerap terhadap harga makanan, kebersihan dan pakaian pekerjanya. Memandangkan para warga KUIS khasnya Mahasiswa sentiasa ke tempat ini, tambahan lagi semua akan duduk dalam. Kita tidak mahu berlaku kes seperti sebelum ini, keracunan makanan, cafe yang tidak 'Istiqamah' dan berpendirian dalam meletakkan harga makanan, begitu juga pakaian pekerja cafe yang menjolok mata.
  4. Indahnya KUIS sekiranya ada papan tanda Asmaul Husna atau Ziikrullah kan :-)
" Win - Win Situation "


Bersambung.....


Rindu UA = Pondok Bandar Hilir

Alhamdulillah, segala jenis pujian hanya untuk Allah swt, selawat serta salam ke atas Nabi Muhammad saw, keluarga dan para sahabat Baginda yang Mulia. Kesejahteraan kepada seluruh pejuang Islam yang tidak pernah mengenal erti penat, bosan dan putus asa dalam memperjuangkan kemuliaan dan kedaulatan agama Islam agar Islam memimpin Dunia.

Masa berlalu begitu pantas, yang terdekat ialah buka semester baru KUIS tempat UA menuntut ilmu, lembah ilmu yang UA sangat cintai. Pertama kali kaki memijak buminya pada 12/06/2006, hari Isnin, pada hari tu secara rasminya UA menjadi salah seorang warga KUIS sehingga kini. Hampir 6 tahun dan 11 semester UA di bumi KUIS, barang tentu begitu banyak pengalaman pahit manis yang telah dilalui. Apapun, KUIS tempatku bersepak terajang dalam Politik Kampus.

Sebelum UA melanjutkan pengajian ke KUIS, UA sempat melanjutkan pengajian di Markaz At-Ta'lim wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik kedah Darul Aman, dan pada 03 April sehingga 01 Mei yang lepas UA telah menghabiskan masa bercuti sebulan di sana untuk berkhidmat dan berbakti kepadanya. Sepanjang duduk kat sana pelbagai aktiviti yang UA telah laksanakan setelah mendapat restu dan keizinan orang no. 1 Pondok yang Berbahagia Tuan Guru Ustaz Ismail Haji Mahmud, Mudir Pondok Bandar Hilir.

Antara aktiviti yang UA telah lakukan ialah dengan mengadakan Usrah dengan 25 orang pelajar pondok dikalangan lelaki yang mereka ini dikategorikan sebagai pelajar yang 'Nakal' yang pada UA mereka adalah Istimewa, hampir setiap malam UA mengadakan kelas malam bersama mereka, yang mana kelas tersebut lebih kepada Motivasi, mengenal pasti masalah dan kesusahan hidup mereka dan sebagainya. Selain itu, UA juga memfokuskn kepada Dewan Pelajar yang terdiri daripada pimpinan pelajar Pondok, antara aktiviti yang telah UA adakan ialah Kem Kepimpinan Pondok Bandar Hilir yang bertemakan "Meneladani Kepimpinan Rasulullah" selama 2 hari 1 malam, yang disusuli dengan penyampaian Watikah perlantikan dan Majlis Bai'ah serta Bengkel Pengurusan Dewan Pelajar. Kesemua ini telah mendapat sokongan penuh oleh pihak pengurusan Pondok terutamanya Mudir.

UA juga telah mengadakan program yang melibatkan seluruh pelajar Pondok samada lelaki mahupun perempuan, iaitu melalui program Slot Muhasabah untuk mendamba Tarbiyah Allah swt, dan keesokan paginya program Ceramah Motivasi dan Pembahagian Study Group. Alhamdulillah, hampir sebulan UA disana hubungan dengan para pelajar semakin rapat dan mesra, mereka memanggil UA dengan panggilan 'Ustaz' satu gelaran yang pada UA tidak layak lagi buat masa sekarang, namun itulah kehendak mereka maka UA membiarkan gelaran tersebut kepada diri ini. Selain itu, terdapat juga beberapa program yang berlaku secara tidak langsung seperti Rehlah ke sungai, bersukan bersama-sama, gerak subuh dan berjalan-jalan bersama dengan Tok Guru dan juga Keluarga beliau seperti ke Langkawi, Alor Star, Sungai Petani, Pokok Sena dan ke kawasan Sik sendiri. Hakikatnya, yang paling penting ialah UA sebenarnya ingin mendidik diri dan dalam masa yang sama mengajak para pelajar untuk turut sama.


Merindui suasana pengajian dan Ruhiyyah pondok itulah yang menyelubungi hati UA ketika ini, sepanjang berada di sana hati dan minda ini 'lekat' di Pondok sahaja, dalam masa yang sama mengikut perkembangan isu semasa negara dan kampus. Realiti kini, UA berada di sini Selangor, dan di sini terpikul beberapa amanah yang UA wajib tunaikan antaranya selaku pimpinan GAMIS, semua itu hanya kerana Allah, sebagaimana UA berpegang pada kata-kata "Bekerja Untuk Islam Kerana Allah".

Mudah-mudahan Allah swt akan sentiasa memimpin kehidupan UA, memberikan kesihatan, kekuatan dan kebahagiaan kepada UA untuk meneruskan perjuangan yang telah diwariskan oleh Rasulullah saw ini. Selaku anak muda, selayaknya UA perlu sentiasa bersemangat dan berkorban apa sahaja demi ISLAM ditegakkan dalam diri sendiri, masyarakat dan Negara.

Ya Allah Pimpinlah kehidupanku sehingga nafasku yang terakhir. Matikanlah Aku dalam kedaan yang Baik (Husnul Khatimah)


Isnin, 2 Mei 2011

Hikmah Kembara Sebulan UA

Alhamdulillah wa Syukrulillah, bersyukur kepada-MU ya Allah atas segala anugerah, nikmat dan rezeki yang telah Engkau berikan kepadaku selama ini. Berkuntum-kuntum Selawat serta Salam UA panjatkan ke atas Nabi junjungan Muhammad saw, keluarga baginda dan para sahabat Baginda yang Agung lagi Mulia.

Semalam berakhir pengembaraan UA di Markaz At-Ta'lim Wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir, Sik, Kedah Darul Aman, Pengembaraan Mengenal diri dan Pencipta, terlalu banyak kenangan terindah yang berlaku sepanjang sebulan UA di sana. Dikesempatan ini, sekali lagi UA mengucapkan berbanyak-banyak terima Kasih kepada seluruh warga Pondok yang menerima UA seadanya khususnya Mudir, Tuan Guru Ustaz Ismail bin Haji Mahmud dan keluarga. Tarbiyah, Motivasi dan Dorongan yang Ustaz Ismail berikan sangat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam. Alhamdulillah.


Seawal pukul 4.30 Subuh, dengan Izin-NYA UA bangkit dan bersiap untuk bermunajat dan Solat Subuh kepada-NYA, pukul 5.00 subuh UA mula gerak subuh adik-adik Muslimin bersama beberapa orang pelajar yang pada UA Tarbiyah mereka hebat antaranya Adik Abdul Halim. Sebelum Azan berkumandang majoriti pelajar lelaki sejumlah 100 lebih orang berkumpul di surau Pondok, solat sunat 2 rakaat. Kemudian Solat Subuh secara berjemaah, Wirid, Doa dan Selawat. Selepas itu, kelas Pagi akan bermula mengikut peringkat dan Guru masing-masing.

Pukul 8.30 para pelajar dikehendaki berkumpul d surau untuk menunaikan solat sunat Dhuha secara berjemaah, sebelum memasuki kelas Formal pada pukul 9.00 pagi. Waktu ini jugaperhimpunan pelajar biasanya akan dilakukan, kemudian disususli dengan alunan zikir Asmaul-Husna. Tepat pukul 9.00 pagi kelas pun bermula dan para pelajar memasuki kelas masing-masing, bermula dari I'dadi sehinggalah 4 Thanawi. Kelas selesai pukul 1.30 tengah hari. Yang menariknya di sini penekanan Solat 5 waktu secara berjemaah dan Pengajian yang Konsisten sangat menarik perhatian UA. Indahnya kehidupan Pondok, soal rezeki dan makan minum. Jangan dirisaukan pengalaman hidup Tuan Mudir bersama ustaz2 lain, mereka mengakui rezeki warga Pondok sentiasa mengalir (ada) seperti air sungai yang mengalir. Subhanallah.

Demikianlah antara aktiviti harian Pondok yang UA sempat kongsikan di sini, sukar untuk UA nyatakan apa yang UA telah dapat sepanjang bercuti sebulan di sana. Indahnya hidup bersama ALLAH SWT, UA mentarbiyah diri sendiri dan mengajak adik-adik yang lain. Ya Allah, janganlah Engkau tarik nikmat, kesedaran dan Hidayah-MU setelah Engkau memberikannya kepada kami semua, pimpinlah kehidupan kami sehingga nafas terakhir kami.

Bersambung.....

Sabtu, 2 April 2011

Bissala Atay Subul Babur Rahmah

Alhamdulillah, segala jenis puji-pujian aku panjatkan kehadrat ALLAH SWT, selawat serta salam ke atas Nabi junjungan Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat Baginda yang Mulia. Ya Allah, berikanlah keselamatan kepada seluruh makhluk-Mu yang istiqamah dan konsisten dalam memperjuangkan Agama-Mu ISLAM di muka bumi ini.

Ya Allah, Engkau lebih mengetahui apa yang tersembunyi di hati hamba-Mu yang hina dan tersangat lemah ini. Sesungguhnya Engkau Maha mengetahui segala yang zahir dan yang tersembunyi (Ghaib). Setiap lintasan minda, hati dan jasadku Engkau ketahuinya, Engkaulah Raja kepada segala Raja, bagi-Mu apa yang ada di langit dan di bumi.

Ya Allah, telah banyak nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku sejak aku berada di alam Rahim lagi sehingga kini, telah banyak Engkau selesaikan masalah aku selama ini, dahulu pernah aku rasa yang aku tidak akan dapat keluar daripada sesuatu masalah, akhirnya dengan izin-Mu kini aku berada di sini, dan masih terus hidup untuk terus mengabdikan diriku kepada-Mu ya Allah.

Manusia menghukum pada yang zahir dan fizikal. Tiada siapa yang akan tahu apa yang akan berlaku sesaat selepas ini, begitu jugalah seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan setahun selepas ini. Manusia hanya mampu merancang Engkau yang menentukannya. Setiap perancangan-Mu tetap akan menjadi kepastian, berbeza kami sebagai hamba-Mu yang hina, perancangan kami tetap bernama perancangan.

Manusia dikurniakan cara berfikir yang berbeza, para sarjana dan ilmuan mengkaji cara berfikir sampai ke tahap PhD. Selepas kajian, didapati Cara berfikir manusia bermacam-macam jenis, itu baru cara berfikir manusia, belum lagi aspek-aspek yang lain seperti cara tidur, berjalan, senyum, makan, duduk dan sebagainya. Subhanallah, Maha Suci ALLAH. Manusia juga dikurniakan potensi, kelebihan dan kelemahan yang berbeza-beza untuk mereka lengkap melengkapi sesama mereka.

Berbalik kepada cara berfikir tadi, apa yang ingin aku tekankan di sini ialah, berkaitan aliran pemikiran terutamanya dalam hal kita mengenal ALLAH. Agama ALLAH terbina berdasarkan tiga asasnya iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Islam dan Iman seringkali kita ditekankan dimana-mana pengajian, begitu juga sedikit sebanyak tentang Ihsan.

Ihsan dan Akhlak ibarat lagu dan irama, aur dan tebing yang tidak dapat dipisahkan. Bila sahaja kita berbicara soal Ihsan maka di sana ada beberapa jalan untuk melaluinya antaranya ialah jalan Tasawwuf dan Thariqat. Kedua-duanya ini juga menyentuh soal hati yang seterusnya diterjemahkan melalui akhlak. Aku masih ingat semasa Diploma Pengajian Islam Dakwah suatu masa dahulu, aku pernah belajar satu subjek " Thariqat pada perspektif Islam ". Wujud pendapat khilaf tentang keharusan berthariqat, ada yang berpendapat boleh dan tidak bolah, namun jumhurnya membolehkan. Thariqat adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud "Jalan". At Thariq Ilallah (Jalan Menuju Allah).

Semasa aku menulis catatan ini, hakikatnya aku terfikir soal mentaliti dan perpesktif setengah keluarga dan masyarakat yang aku kenali. Ini kerana mungkin jarak yang memisahkan aku dengan mereka menyebabkan aku tidak mampu berdiskusi bersama mereka dan seterusnya menjelaskan segala kekaburan mereka terhadapku. Aku tidaklah mempunyai ilmu yang banyak sangat, dalam usia aku yang 28 tahun ini aku sentiasa berusaha mendalami Ilmu ALLAH yang luas, yang tidak bertepi dan berpenghujung ini. Semakin aku mendapatkannya semakin aku terasa diriku ini jahil.

Di Daerahku, ada seorang pendakwah, pejuang, pahlawan ISLAM yang agung, yang aku dan para masyarakat sekelilingku mengiktirafnya sebagai Wali ALLAH, dia ialah Allahyarham Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Al-Bikangi. Untuk aku menggelarkan diriku sebagai pengikut Allahyarham Tuan Guru, jujurnya aku tidak layak, tetapi kalau sebagai PEMINAT Insyaallah aku yakin tidak ada masalah. Bak kata Guru kampung aku, Tuan Haji Halid bin Rashid, Guru kg. Babur Rahmah Lahad Datu Sabah. Begitu jugalah aku ingin katakan terhadap pewaris perjuangan Allahyarham ialtu Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah. Aku adalah peminat beliau. Rindu di hati untuk berkhidmat dengannya hanya ALLAH yang lebih tahu ukurannya. Cuma, aku sedar buat masa ini, aku perlu teruskan misi memburu ilmu, terutamanya ilmu yang paling aku minati iaitu bahasa Ibunda Rasulullah, bahasa Al-Quran, kalamullah "Bahasa Arab". Kita sedia maklum, Al-Quran dan Hadis dalam bahasa Arab. Imam Ghazali sendiri menekankan kepada setiap individu muslim untuk mempelajari bahas Arab.

Sejak kecil, seawal usia kanak-kanak aku, aku sering di bawa ke mana-mana oleh Arwah ayah aku, ke lautan yang luas mencari rezeki untuk keluarga, ke hutan tebal, ke bakau mencari kayu api, ke pekan jalan-jalan :-), dan paling manis tatkala tanganku dipimpin menuju ke Masjid Awwal di daerah Lahad Datu. Sejak kecil Arwah sering mendedahkan kepadaku budaya dan suasana ISLAM yang tulin, aku dikhabarkan oleh arwah ayahku, daerah Lahad Datu khasnya dan negeri Sabah amnya, ketika itu masyarakat tertumpu kepada uslub Dakwah Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Al-Bilkangi yang disenangi dan boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat, yang bertemakan "KASIH SAYANG". Segar dalam ingatanku tatkala kami sekeluarga menziarahi Tuan Guru dirumahnya di Kg. Bikang Lahad Datu. Masa terus berlalu.

Aku mengembara dari satu tempat ke satu tempat untuk mengenal diri dan seterusnya berharap dan berdoa agar dapat mengenal Penciptaku dengan erti kata sebenar iaitu ALLAH SWT. Hatiku tetap kuat yang aku adalah Peminat kepada Yang Mulia Allahyarham Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Al-Bikangi dan Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al-Hassaniyyah. Sepanjang perantauan aku ini, banyak jenis manusia yang aku temui, termasuklah para ulama dan tok2 guru samada Pondok atau Muassasah. "Ulama pewaris Nabi", aku mendekati mereka dan memohon doa dan keberkatan zuhud dan usaha keras Dakwah mereka, semoga hidupku sentiasa Thabat dalam perjuangan Dakwah Islamiyyah sehingga nafasku yang terakhir. Tesis atau kajian Ilmiah Diploma aku sebelum ini pun bertemakan ulama, dengan aku memilih tok Guru menteri besar Kelantan sebagai kajian aku. Ulama adalah manusia yang terpilih oleh ALLAH untuk dekat dengan-NYA. Walaupun banyak ulama yang telah aku temui dan dekati, namun Dua orang Tuan Guru yang aku telah sebutkan pada awal tadi tetap merupakan Tokoh yang ingin aku jadikan Murabbi untuk aku lebih mengenal-Nya dan mendekati-Nya.

Dalam aku berpendirian teguh bahawa aku adalah antara peminat perjuangan Allahyarham Tuan Guru Haji Ghulam Hassan Al-Bikangi yang kini diteruskan oleh Muridnya Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim Al-Hasaniyyah. Adakah aku salah untuk meminati ulama yang lain ? adakah aku salah untuk mengenali mereka. Aku kini berada di perantauan ini. Aku yakin keadaanku ini sedikit sebanyak pernah dialami oleh pengikut-pengikut Tegar Tuan Guru Haji Abdul Rahim ketika ini, contohnya Dr. Dalhadi. Aku tahu dan yakin wujud pandangan Pro dan kontra kepada perkara ini. Ini belum lagi menyentuh soal kefahaman dan pandangan Siasah (Politik) yang aku ..............

Bersambung..........


oleh Umar Azihal pada pada 02hb April 2011 pukul 2.33 pagi

Jumaat, 1 April 2011

" Tabah Oh Tabah "


Alhamdulillah, kasih sayang Allah SWT dan redha-Nya UA terus hidup di muka bumi yang bersifat sementara ini. Dikala UA berfikir sambil bermuhasabah diri, ya Allah betapa banyak nikmat yang telah Engkau berikan padaku sejak aku lahir sehinggalah saat ini, dan betapa banyaknya juga Engkau telah keluarkan aku daripada dugaan-dugaan hidup yang sebelum ini aku fikirkan aku tidak dapat keluar daripadanya. Memang benarlah bahawasanya nikmat-Mu tidak terhitung nilainya.


Mengimbau liku-liku kehidupan yang lalu, pahit manis, susah senang, lapar kenyang dan tawa tangis sering bersilih ganti. Antara kata-kata yang UA pegang sehinga hari ini ialah "Dugaan mematangkan diri", zaman kanak-kanak dan remaja UA dah berlalu, begitu juga zaman sekolah Rendah dan Menengah, untuk seseorang menjadi matang dia perlu berani mendepani cabaran hidup bukan lari darinya. Setiap masalah atau dugaan yang mendatang adalah satu nikmat daripada Allah SWT, suapaya iman kita bertambah. Allah turunkannya sesuai dengan kemampuan kita.

Cerita hidup kita, kita yang lebih tahu A sehingga Z, dengan sebab itu UA berpandangan, cerita atau kata-kata orang lain yang bertentangan dengan realiti sebenar cerita kehidupan kita, ianya perlu dibuang jauh-jauh, dan jangan sesekali membiarkannya membantutkan matlamat hidup kita, jangan dilayan kerana jika dilayan akan berlakulah pening kepala, sakit hati dan marah yang akan menemani pemikiran kita selepas itu. Tak payah susahkan diri dan zalimi diri dengan memikirkan sesuatu yang tidak betul, nanti kita pula yang jadi senget dan tidak betul kan. Teringat prinsip hidup seorang Ustaz yang UA kenal suatu ketika dulu, prinsip hidup dia mudah "Pentingkan diri sendiri".

Jika difahami secara kasar, nampak gayanya Ustaz tu memiliki sifat mazmumah, tetapi setelah dijelaskan secara terperinci barulah UA faham, bahawa terkadang ada masanya dalam hidup ini kita perlu mengutamakan keperluan diri kita, mafhumnya sayangi diri sebelum menyayangi orang lain. Contohnya, seorang mahasiswa yang di ajak bersembang atau bermain futsal semasa waktu rehat, sebagai Mahasiswa yang sibuk dengan pengajian maka dia perlu mementingkan diri sendiri dengan memberikan alasan yang hikmah supaya masa rehatnya tidak diganggu oleh aktiviti lain.


Perkara ini sebenarnya terlalu umum dan subjektif, dan ia bergantung dengan keadaan seseorang individu. Cuma, apa yang UA ingin tekankan di sini ialah kebijaksanaan kita untuk mengurus minda dan emosi kita agar sentiasa stabil, terutamanya dalam hal memikirkan tentang orang lain. Lebih-lebih lagi macam UA, yang paling anti dan benci kepada sesuatu perkara atau cerita yang bertentangan dengan realiti kehidupan UA, pendek kata fitnah atau gosip. Panasssssss Hati Jo... Sabar, tenang dan Kritis. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar... :-)

Rabu, 9 Mac 2011

Tazkirah adalah Tentera ALLAH SWT


Alhamdulillah, pertama dan selamanya UA memanjatkan kesyukuran kepada yang empunya dunia Allah SWT atas segala kurniaan, anugerah dan nikmat yang diberikan-Nya selama ini. Tanpa kasih dan sayang-Nya tiadalah hidup ini. Selawat serta salam ke atas utusan-Nya, insane yang paling sempurna sudah tentulah Nabi Muhammad SAW, Rasul junjungan mulia. Seluruh keluarga dan para sahabat Baginda yang mulia.


Sudah lama UA tidak menulis di ruangan ini, hari ini UA terpanggil untuk menulis ringkas setelah terkesan membaca beberapa tulisan di dalam blog sahabat-sahabat dan para guru, dan UA paling tertarik dengan ayat “ Tazkirah adalah tentera Allah ”. Teringat akan Firman Allah SWT yang bermaksud : " Berilah peringatan (Tazkirah) kerana sesungguhnya ia bermanfaat bagi orang-orang yang beriman ".

Bacalah Doa ini untuk Saudara kita di Palestin & Dunia

Pengalaman Kepimpinan



2002-2005

Madrasah Al-Irsyadiah, Pondok Marakau Ranau Sabah (MAIM)

Ketua Pelajar
Ketua Asrama
Ketua Ibadah

2005
Markaz At-Ta'lim wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik, Kedah

Lajnah Mutholaah

2006-2011
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Pengerusi Lajnah Dakwah Jabatan Dakwah
Pengerusi Persatuan Mahasiswa Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Arab
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Borneo (PERMIB)
Presiden Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar (ALAM)
Setiausaha Agung Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar
Ketua Biro Pembangunan Insah Taa'ruf
Ketua Biro Disiplin Taa'ruf
Naqib Usrah Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Exco Akademik PERMIB
Exco Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian peradaban Islam (PMFPPI)



Sahabat Blog