Jumaat, 26 Ogos 2011

Ina' ya Kinalasahan Tongan (Ibu yang sangat disayangi)

Alhamdulillah, bersyukur kepada ALLAH SWT atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira, dengan izin-Nya UA masih bernafas dan bernyawa, syukur kepada-Mu ya Allah. Selawat serta Salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW, insan yang paling mulia dan agung. Penghulu segala Nabi dan Rasul. Kesejahteraan kepada Keluarga dan para sahabat Baginda yang mulia.

Semalam, sempat berbicara selama setengah jam dengan Ibu melalui telefon, melepaskan rindu kepadanya dan menjalankan amanah sebagai seorang anak dengan bertanya khabar dan mengetahui perkembangan Ibu. Sebelum ini, UA selalu menghubungi Ibu, cuma hari ini UA terpanggil untuk membuat satu catatan khas yang berkaitan Ibu ke dalam Blog ini. Mengambil berkat bulan Ramadhan yang mulia. UA memanggil Ibu dengan gelaran Ina', Ina' adalah perkatan bahasa Bajau Ubian yang bermaksud Ibu.

UA bersyukur kepada-Nya kerana telah dikurniakan seorang Ina’ yang sangat Mithali dan Solehah iaitu Sitti Harijah binti Haji Jimlan, dan juga dikurniakan seorang Ayah yang sangat tenang dan penyabar Bangsawan bin Haji Abu Bakar. Ina' seorang yang amat tegas dan garang dalam mendidik kami 8 orang adik beradik, berbeza dengan arwah Ayah seorang yang lemah lembut, penyabar dan tidak pernah memukul kami anaknya dengan tangan jauh sekali rotan atau batang Penyapu. Berbeza dengan metode didikan Ina', semasa kecil, Rotan, Penyapu lidi, wayar, senduk, kayu, tali pinggang dan seumpama dengannya semua itu menjadi alat mendidik oleh Ina' (untuk memukul) ketika kami melakukan kesilapan, daripada 8 orang adik beradik UA adalah anak yang sering kali menerima 'Coklat @ Gula-gula' tersebut. Oleh kerana kenakalan UA lah semua itu UA terima. Sejujurnya, sejak kecil sehingga dewasa Ina' suka berleter tatkala kami anak-anaknya tidak berdisiplin, tidak mengira waktu pagi, petang atau malam, walau di mana berada. Ina’ akan berhenti berleter apabila kami 8 orang adik beradik dapat melakukan apa yang Ina' suruh, seperti solat, dapat menyiapkan kerja sekolah, menyiapkan kerja rumah, tidak berkawan dengan budak-budak nakal, bagi anak lelaki dikehendaki solat di Masjid kampung dan banyak lagi. Seperti biasa, sebagai anak yang 'Istimewa' UA bukan sahaja seringkali menerima hadiah yang disebut tadi bahkan anak yang sering menerima leteran, juga atas kenakalan dan tidak mendengar cakap.

Apabila meningkat remaja, UA mula melawan dan memberikan tindakbalas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang kepada Ibunya, seperti melawan kata dan menengking Ina’. Setelah usia bertambah dan mula memasuki 21 tahun, apabila UA mula tersedar satu perkara besar iaitu Ketegasan dan leteran Ina' itulah yang menjadikan kami semua adik beradik berjaya dalam hidup. UA boleh menjadi Manusia seperti yang ada sekarang, daripada 8 orang adik beradik UA yang ditakdirkan-Nya sampai ke menara Gading. UA diizinkan-Nya merantau pelbagai tempat dan berani serta sedikit cekal tatkala mendepani apapun mehnah tribulasi dalam kehidupan ini. Selain itu, hasil didikan Ina’ UA mampu bersifat Degil dalam mencapai setiap impian dan cita yang ingin dicapai.

Menitis air mata apabila mengenang kebiadaban dan kesilapaan-kesilapan yang telah UA lakukan terhadap kedua orang Wali keramat dalam keluarga ini, iaitu Ina' (Ibu) dan arwah Ayah. UA bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberikan hidayah dan kesempatan untuk berbakti kepada keduanya. Walaupun arwah Ayah sudah tiada, kiriman Doa, Bacaan Al-Quran dan Tahlil setiap hari UA kirimkan sebagai penebus kepada kesilapan yang lalu dan sememangnya ituloah tanggungjawab sebagai seorang anak. Selepas arwah Ayah meninggal dunia pada 17/02/2001, maka bermulalah kehidupan Ina' sebagai seorang Ibu Tunggal yang perlu mendidik dan membesarkan kami 8 orang adik beradik sebagai anaknya. Kini, pemergian ayah telah memasuki tahun ke-10, Ina’ masih setia dengan Cinta arwah Ayah, walaupun ada beberapa kali beberapa orang Pakcik ingin melamar Ina’ sebagai isteri mereka. Ina’ ada berkata : “ Aku mahu menjadi teman sejati dan ketua bidadari kepada Ayahmu di Akhirat kelak ”. Teringat ceramah seorang Ustaz, ada menyatakan bahawa seorang perempuan yang kematian suami lalu dia bernikah dengan seorang lelaki selepas tamat tempoh Idah, lalu dia mati, maka di akhirat nanti dia akan bersama dengan semua barunya bukan suami yang awal. UA yakin ini ada kaitan dengan pendirian tegas Ina’ yang tidak mahu lagi berkahwin. Kelebihan Ina’ yang sangat UA kagumi ialah, ketegesan beliau dalam hal Solat dan Ilmu kepada kami anak-anaknya.

Tarikh 02/02/2002, bermula perantauan dan pegembaraan UA dalam bidang Agama, berbanding sebelum itu tahun 1990 -1995 Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Lahad Datu 3, dan 1996 - 2000 Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya Lahad Datu. Pengembaraan menuntut ilmu menuju Madrasah Al Irsyadiah Marakau Ranau, yang juga dikenali sebagai Pondok Pengajian Islam Marakau 2002 - 2004. Seterusnya Markaz At Ta'lim Wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik Kedah Darul Aman 2005. Kemudian Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) 2006 - 2011. Masih segar dalam ingatan UA, di subuh 02/02/2002 UA bersiap awal dan berbekalkan pelita di rumah, UA menyiapkan dan memastikan semua keperluan dan Beg pakaian cukup. Keadaan ketika itu sangat dingin memandangkan belum masuk waktu Subuh. Ketika azan Subuh berkemundang, UA memohon maaf, memeluk erat Ina' dan mengucup wajah Ina' buat kali pertama seingatnya setelah bergelar seorang anak Remaja. UA melihat Ina’ menitiskan air matanya, Ina’ menggerakan adik-adik yang lain suapaya bersalaman dengan UA. Keluar daripada pintu rumah dengan kaki kanan sambil memasak dan menanam sedalam-dalamnya di dalam hati, bahawa pegembaraan ini adalah bertujuan mengeluarkan diri daripada kejahilan dan demi Redha ALLAH SWT. Tanpa menoleh ke belakang, terus berjalan menuju Masjid untuk bersolat Subuh. Usai solat subuh, UA sempat bersalaman dengan semua jemaah yang ada ketika itu, dan memohon doa mereka semua supaya pegembaraan menuntut Ilmu ini akan berterusan dan mendapat Pimpinan ALLAH SWT.

Tahun 2002 telah berlalu, hari ini 26 Ogos 2011 bersamaan 26 Ramadhan 1432 H. Hampir 10 tahun sudah pengembaraan menuntut Ilmu Agama. Sudah tentu pelbagai pahit manis, lapar dahaga. susah senang, tawa tangis dan jatuh bangun diri UA telah berlaku. Hasil didikan dan leteran Ina' lah UA mampu mendepani semua itu dengan tenang, cekal, sabar dan kritis. Bi Iznillah.

Ina’, terima kasih kerana telah melahir, membesar, mendidik dan mentarbiyah serta menjaga UA sejak di dalam kandungan lagi sehinggalah ke hari ini. Besar sungguh pengorbanan Ina dan arwah Ayah, hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalasnya, dan mudah-mudahan kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang Berjaya di akhirat, bukan sahaj memasuki Syurga Allah SWT malahan akan dapat bertemu dengan Zat-Nya. Aamin ya Allah.

Pengembaraan ini masih jauh, masih banyak kejayaan yang perlu ditawan. UA yakin, bukan segunung emas yang Ina’ pinta. Kejayaan hidup UA dan adik beradik yang lain yang Ina’ ingin lihat. Ina’, percayalah bahawa janji kami anak-anakmu akan sentiasa membahagiakanmu termasuklah menunaikan impian Ina’ untuk menunaikan Ibadah Haji. Barakallahu Fina ………

Sabtu, 20 Ogos 2011

Sahabatku Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT atas segala kurniaan dan nikmat yang diberikan-Nya kepada UA sehingga saat ini. Selawat serta salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW, Keluarga dan para Sahabat yang Mulia.

Hari ini, UA buka Google dan klik Imej dan taip Umar Azihal Bangsawan, kemudian UA terjumpa satu gambar, gambar seorang Sahabat yang sangat UA rindui, sahabat seperjuangan semasa program Diploma Pengajian Islam Dakwah sebelum ini. UA klik web Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil. http://amirosafwan.blogspot.com/2010/03/bagaimanakah-hatiku.html . Komen UA terhadap tulisannya ketika itu 25 Mac 2010, 1.00 pm, Khamis ...

Assalamualaikum w.b.t.....

Sahabatku...

Terlebih dahulu ana memohon maaf kerana ketika anta memerlukan seorang sahabatana tiada disisimu. Namun ketahuilah dirimu tetap berada diingatanku sebagai seorang sahabat seperjuangan. Perkatan 'SAING' telah anta berikan pada ana, dan 'JO' pula ana berikan kepada anta. Enam semester kita lalui bersama di bumi KUIS. Walaupun jarak usia kita jauh berbeza, ana sentiasa menganggap anta sebagai seorang yang sebaya pada ana.

Sahabatku...

Teruskan perjuangan dakwahmu di bumi anbiya yang anta pijak ketika ini, begitu juga ana di tanah air ini. Bumi Allah sangat luas syeikh, setiap ruang bumi-Nya adalah medan dakwah, setiap saat adalah amanah dari-Nya kepada kita, dan setiap saat perlu ada 'DAKWAH'. 18 Julai 2009 kita bersama menerima segulung Diploma Pengajian Islam 'DAKWAH', masih ingat kan sahabatku ?

Banyak kenangan manis yang kita lalui bersama, susah senang, lapar dahaga, panas terik dan tawa tangis, gurau senda semua itu pernah kita lalui bersama. Sahabat, di mana pun kita berada, Intima' diri kita dalam gerak kerja DAKWAH perlu Istimrar. Doa ana semoga dirimu di sana sentiasa dipimpin oleh rahmat dan kasih sayng ALLAH SWT.

Maafkan diri ini Sahabatku, segala jasa baikmu dan pengorbananmu padaku amat ana hargai. Jazakumullahu Khoiran Kathira.

Sahabatmu... Umar Azihal Bangsawan


Jumaat, 19 Ogos 2011

Pesan Arwah Ayah


Alhamdulillah, syukur kepada-Mu ya Allah kerana masih mengizinkanku untuk terus hidup dan bernafas. Selawat serta salam ke atas Nabi junjungan Muhammad saw. Keluarga dan para Sahabat baginda yang UA muliakan.

Menghampiri hari ke-20 Ramadhan, hati terasa sayu. Tatkala minda menyelusuri runagan akal teringat akan satu pesanan Arwah ayah sehari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya " Umar, jadilah orang yang berguna kepada diri sendiri dan orang lain ". Ringkas pesanan Arwah tetapi mempunyai makna tersirat yang terlalu luas.

Keupayaan bergerak kerja atau beraktiviti seseorang perlu mengikuti kemampuan yang dia ada, hal ini merangkumi segenap aspek dan aktiviti harian kita sebagai manusia. Ukur baju di badan sendiri, pepatah Melayu menyebutnya.

UA semester ini terasa ada sahaja yang tidak kena, sehingga sentiasa ingin mngelak daripada kekalutan dan kesibukan manusia di luar sana dan ingin sentiasa bersendirian. Setelah berfikir panjang, UA dapati Hati adalah merupakan faktor utamanya, iaitu hati yang mudah tersentuh sehingga suka bersendirian, hati yang jauh dari Allah SWT sehingga berasa susah hati, hati yang mungkin masih hitam dek kerna cerita-cerita silam.

Petang ini, Ramadhan akan memasuki harinya yang ke-20 untuk tahun ini. Belum terlewat lagi untuk UA mengatur strategi dan perancangan untuk memastikan Tetamu yang Mulia ini UA dapat Muliakan dengan erti kata sebenar. Ramadhan 1432 H, UA ingin melayanmu sebaik mungkin sebelum Engkau pergi ke pangkuan Tuhan yang menciptakanmu dan memlaporkan layananku kepadamu. Izinkanku untuk mendakap dan memelukmu seerat-eratnya wahai Ramadhan yang Mulia dan Suci.

Ya Allah, kuatkanlah hatiku, tingkatkanlah amal Solehku, ampuni dosa-dosaku ya Allah.

Jumaat, 5 Ogos 2011

Kehidupan



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT dan Selawat serta salam kepada Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat Baginda yang Mulia. UA yakin setiap manusia masing-masing mempunyai jalan cerita hidup yang tersendiri, dan kesemua itu terkadang menuntut untuk dimuahasabahkan. Dengan itu, setiap insan pasti memberikan ruang dan masa untuk dia bersendirian dan mengkoreksi segala apa yang telah berlaku dalam hidupnya.

Allah memberikan ujian kepada hamba-Nya sebab DIA sayangkan hamba-Nya, ingin hamba-Nya ingat akan DIA, kerana secara adatnya tatkala manusia dalam kesusahan dan kesedihan maka ketika itu Kecintaannya dan ingatannya kepada Pencipta iaitu ALLAH akan memuncak. Keikhlasan yang sebenar akan terpancar ketika ini. Oleh itu, kekuatan hati dan minda sangat diperlukan ketika mendepani cabaran hidup.

Masa berlalu begitu pantas, setiap saat adalah amanah Allah kepada kita. Sejauh mana kita mengingati Allah dalam kehidupan seharian kita. Sehari kita ada masa 24 Jam, seminggu ada 7 hari, sebulan ada 30 @ 31 hari. Setahun ada 12 bulan dan 365 hari. Pantas masa berlalu, sungguh pantas. kita selalu mendengar orang yang hebat ialah orang yang mampu mendominasi masa, bukan masa yang mendominasinya. UA bagaimana ?

Perhatikan sahaja, ketika ini kita telah pun berada di hari ke 5 Ramadhan. Bulan yang penuh rahmat dan keampunan kepada kita daripada-NYA sang Pencipta. Bulan yang setiap amalan soleh akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda. Bulan pengabdian kita sepenuhnya kepada Allah. Bulan untuk kita memperbanyakan menangis dihadapan-NYA atas segala dosa-dosa dan keterlanjuran kita selama ini. Ya Allah, berikanlah kekuatan hati, akal dan jasad kepada kami untuk kami Istiqamah 'Tunduk Hina' dihadapan-MU bukan sahaja di bulan ini bahkan sepanjang hidup kami di Dunia yang sementara ini ya Allah.

Wahai Tetamu yang UA Muliakan, terus pimpin tangan UA ya, demi Redha Ilahi.

Selasa, 2 Ogos 2011

Ramadhan yang penuh Keberkatan


Alhamdulillah, dengan izin Allah UA mampu hidup dn bernafas lagi. Masa berlalu begitu pantas, ketika ni dah masuk hari ke 2 bulan Ramadhan 1432 H. Ramadhan kali ini Insyaallah ramadhan yang sangat banyak memberi makna dalam hidup UA, kerana telah banyak peristiwa yang berlaku sebelum ini. Alhamdulillah, penghujung Sya'ban baru-baru ni menjadi petanda kepada penyelesaian kepada beberapa dugaan hidup UA.

Kehadiran Yang Mulia Tuan Guru Haji Abdul Rahim ke bumi Semenanjung bagi UA menjadi titik tolak yang besar dalam hal ini. Tiga kali pertemuan dengan Tuan Guru dan menerima peringatan (Tazkirah) telah banyak menenangkan hati dan mengubat penyakit hati UA. Inilah keberkatan Insan yang Taat kepada Allah, Insan yang mengenal Allah, . Mudah-mudahan didikan dan petunjuk jalan yang diberikan oleh Tuan Guru akan sentiasa UA guna pakai dalam mendepani kehidupan ini.

Setiap kali kehadiran Ramadhan setiap umat Islam masing-masing mempunyai Azam Ramadhan, UA juga tidak ketinggalan. Apapun azam yang kita ada dan tanam dalam hati. Ramadhan kali ini hendaklah Ramadhan yang paling terbaik diantara paling terbaik sepanjang kita hidup di dunia ini. Kita mengambil segala ruang dan peluang yang Allah berikan disepanjang bulan yang mulia ini. Insyaallah Bi Iznillah.

Selamat Maju Jaya UA ucapkan kepada diri agar menjadi Hamba-NYA yang berTAQWA.

Bacalah Doa ini untuk Saudara kita di Palestin & Dunia

Pengalaman Kepimpinan



2002-2005

Madrasah Al-Irsyadiah, Pondok Marakau Ranau Sabah (MAIM)

Ketua Pelajar
Ketua Asrama
Ketua Ibadah

2005
Markaz At-Ta'lim wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik, Kedah

Lajnah Mutholaah

2006-2011
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Pengerusi Lajnah Dakwah Jabatan Dakwah
Pengerusi Persatuan Mahasiswa Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Arab
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Borneo (PERMIB)
Presiden Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar (ALAM)
Setiausaha Agung Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar
Ketua Biro Pembangunan Insah Taa'ruf
Ketua Biro Disiplin Taa'ruf
Naqib Usrah Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Exco Akademik PERMIB
Exco Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian peradaban Islam (PMFPPI)



Sahabat Blog