Jumaat, 26 Ogos 2011

Ina' ya Kinalasahan Tongan (Ibu yang sangat disayangi)

Alhamdulillah, bersyukur kepada ALLAH SWT atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira, dengan izin-Nya UA masih bernafas dan bernyawa, syukur kepada-Mu ya Allah. Selawat serta Salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW, insan yang paling mulia dan agung. Penghulu segala Nabi dan Rasul. Kesejahteraan kepada Keluarga dan para sahabat Baginda yang mulia.

Semalam, sempat berbicara selama setengah jam dengan Ibu melalui telefon, melepaskan rindu kepadanya dan menjalankan amanah sebagai seorang anak dengan bertanya khabar dan mengetahui perkembangan Ibu. Sebelum ini, UA selalu menghubungi Ibu, cuma hari ini UA terpanggil untuk membuat satu catatan khas yang berkaitan Ibu ke dalam Blog ini. Mengambil berkat bulan Ramadhan yang mulia. UA memanggil Ibu dengan gelaran Ina', Ina' adalah perkatan bahasa Bajau Ubian yang bermaksud Ibu.

UA bersyukur kepada-Nya kerana telah dikurniakan seorang Ina’ yang sangat Mithali dan Solehah iaitu Sitti Harijah binti Haji Jimlan, dan juga dikurniakan seorang Ayah yang sangat tenang dan penyabar Bangsawan bin Haji Abu Bakar. Ina' seorang yang amat tegas dan garang dalam mendidik kami 8 orang adik beradik, berbeza dengan arwah Ayah seorang yang lemah lembut, penyabar dan tidak pernah memukul kami anaknya dengan tangan jauh sekali rotan atau batang Penyapu. Berbeza dengan metode didikan Ina', semasa kecil, Rotan, Penyapu lidi, wayar, senduk, kayu, tali pinggang dan seumpama dengannya semua itu menjadi alat mendidik oleh Ina' (untuk memukul) ketika kami melakukan kesilapan, daripada 8 orang adik beradik UA adalah anak yang sering kali menerima 'Coklat @ Gula-gula' tersebut. Oleh kerana kenakalan UA lah semua itu UA terima. Sejujurnya, sejak kecil sehingga dewasa Ina' suka berleter tatkala kami anak-anaknya tidak berdisiplin, tidak mengira waktu pagi, petang atau malam, walau di mana berada. Ina’ akan berhenti berleter apabila kami 8 orang adik beradik dapat melakukan apa yang Ina' suruh, seperti solat, dapat menyiapkan kerja sekolah, menyiapkan kerja rumah, tidak berkawan dengan budak-budak nakal, bagi anak lelaki dikehendaki solat di Masjid kampung dan banyak lagi. Seperti biasa, sebagai anak yang 'Istimewa' UA bukan sahaja seringkali menerima hadiah yang disebut tadi bahkan anak yang sering menerima leteran, juga atas kenakalan dan tidak mendengar cakap.

Apabila meningkat remaja, UA mula melawan dan memberikan tindakbalas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang kepada Ibunya, seperti melawan kata dan menengking Ina’. Setelah usia bertambah dan mula memasuki 21 tahun, apabila UA mula tersedar satu perkara besar iaitu Ketegasan dan leteran Ina' itulah yang menjadikan kami semua adik beradik berjaya dalam hidup. UA boleh menjadi Manusia seperti yang ada sekarang, daripada 8 orang adik beradik UA yang ditakdirkan-Nya sampai ke menara Gading. UA diizinkan-Nya merantau pelbagai tempat dan berani serta sedikit cekal tatkala mendepani apapun mehnah tribulasi dalam kehidupan ini. Selain itu, hasil didikan Ina’ UA mampu bersifat Degil dalam mencapai setiap impian dan cita yang ingin dicapai.

Menitis air mata apabila mengenang kebiadaban dan kesilapaan-kesilapan yang telah UA lakukan terhadap kedua orang Wali keramat dalam keluarga ini, iaitu Ina' (Ibu) dan arwah Ayah. UA bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberikan hidayah dan kesempatan untuk berbakti kepada keduanya. Walaupun arwah Ayah sudah tiada, kiriman Doa, Bacaan Al-Quran dan Tahlil setiap hari UA kirimkan sebagai penebus kepada kesilapan yang lalu dan sememangnya ituloah tanggungjawab sebagai seorang anak. Selepas arwah Ayah meninggal dunia pada 17/02/2001, maka bermulalah kehidupan Ina' sebagai seorang Ibu Tunggal yang perlu mendidik dan membesarkan kami 8 orang adik beradik sebagai anaknya. Kini, pemergian ayah telah memasuki tahun ke-10, Ina’ masih setia dengan Cinta arwah Ayah, walaupun ada beberapa kali beberapa orang Pakcik ingin melamar Ina’ sebagai isteri mereka. Ina’ ada berkata : “ Aku mahu menjadi teman sejati dan ketua bidadari kepada Ayahmu di Akhirat kelak ”. Teringat ceramah seorang Ustaz, ada menyatakan bahawa seorang perempuan yang kematian suami lalu dia bernikah dengan seorang lelaki selepas tamat tempoh Idah, lalu dia mati, maka di akhirat nanti dia akan bersama dengan semua barunya bukan suami yang awal. UA yakin ini ada kaitan dengan pendirian tegas Ina’ yang tidak mahu lagi berkahwin. Kelebihan Ina’ yang sangat UA kagumi ialah, ketegesan beliau dalam hal Solat dan Ilmu kepada kami anak-anaknya.

Tarikh 02/02/2002, bermula perantauan dan pegembaraan UA dalam bidang Agama, berbanding sebelum itu tahun 1990 -1995 Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Lahad Datu 3, dan 1996 - 2000 Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya Lahad Datu. Pengembaraan menuntut ilmu menuju Madrasah Al Irsyadiah Marakau Ranau, yang juga dikenali sebagai Pondok Pengajian Islam Marakau 2002 - 2004. Seterusnya Markaz At Ta'lim Wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik Kedah Darul Aman 2005. Kemudian Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) 2006 - 2011. Masih segar dalam ingatan UA, di subuh 02/02/2002 UA bersiap awal dan berbekalkan pelita di rumah, UA menyiapkan dan memastikan semua keperluan dan Beg pakaian cukup. Keadaan ketika itu sangat dingin memandangkan belum masuk waktu Subuh. Ketika azan Subuh berkemundang, UA memohon maaf, memeluk erat Ina' dan mengucup wajah Ina' buat kali pertama seingatnya setelah bergelar seorang anak Remaja. UA melihat Ina’ menitiskan air matanya, Ina’ menggerakan adik-adik yang lain suapaya bersalaman dengan UA. Keluar daripada pintu rumah dengan kaki kanan sambil memasak dan menanam sedalam-dalamnya di dalam hati, bahawa pegembaraan ini adalah bertujuan mengeluarkan diri daripada kejahilan dan demi Redha ALLAH SWT. Tanpa menoleh ke belakang, terus berjalan menuju Masjid untuk bersolat Subuh. Usai solat subuh, UA sempat bersalaman dengan semua jemaah yang ada ketika itu, dan memohon doa mereka semua supaya pegembaraan menuntut Ilmu ini akan berterusan dan mendapat Pimpinan ALLAH SWT.

Tahun 2002 telah berlalu, hari ini 26 Ogos 2011 bersamaan 26 Ramadhan 1432 H. Hampir 10 tahun sudah pengembaraan menuntut Ilmu Agama. Sudah tentu pelbagai pahit manis, lapar dahaga. susah senang, tawa tangis dan jatuh bangun diri UA telah berlaku. Hasil didikan dan leteran Ina' lah UA mampu mendepani semua itu dengan tenang, cekal, sabar dan kritis. Bi Iznillah.

Ina’, terima kasih kerana telah melahir, membesar, mendidik dan mentarbiyah serta menjaga UA sejak di dalam kandungan lagi sehinggalah ke hari ini. Besar sungguh pengorbanan Ina dan arwah Ayah, hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalasnya, dan mudah-mudahan kita semua termasuk ke dalam golongan orang-orang yang Berjaya di akhirat, bukan sahaj memasuki Syurga Allah SWT malahan akan dapat bertemu dengan Zat-Nya. Aamin ya Allah.

Pengembaraan ini masih jauh, masih banyak kejayaan yang perlu ditawan. UA yakin, bukan segunung emas yang Ina’ pinta. Kejayaan hidup UA dan adik beradik yang lain yang Ina’ ingin lihat. Ina’, percayalah bahawa janji kami anak-anakmu akan sentiasa membahagiakanmu termasuklah menunaikan impian Ina’ untuk menunaikan Ibadah Haji. Barakallahu Fina ………

Tiada ulasan:

Bacalah Doa ini untuk Saudara kita di Palestin & Dunia

Pengalaman Kepimpinan



2002-2005

Madrasah Al-Irsyadiah, Pondok Marakau Ranau Sabah (MAIM)

Ketua Pelajar
Ketua Asrama
Ketua Ibadah

2005
Markaz At-Ta'lim wat Tarbiah, Pondok Bandar Hilir Sik, Kedah

Lajnah Mutholaah

2006-2011
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Pengerusi Lajnah Dakwah Jabatan Dakwah
Pengerusi Persatuan Mahasiswa Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Arab
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Borneo (PERMIB)
Presiden Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar (ALAM)
Setiausaha Agung Al-Azhar Members, Masjid Al-Azhar
Ketua Biro Pembangunan Insah Taa'ruf
Ketua Biro Disiplin Taa'ruf
Naqib Usrah Jabatan Pembangunan Mahasiswa
Exco Akademik PERMIB
Exco Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian peradaban Islam (PMFPPI)



Sahabat Blog